|

Kg Agong Penaga Penang: Aktiviti dan Pemandangan Cantik di Sini

Pasti ramai yang pernah dengar tentang Kg Agong Penaga yang terletak di Pulau Pinang ini. Jika lihat di media sosial, memang penuh dengan gambar-gambar  pemandangan yang cantik serta ootd dari pengunjung.

Kg Agong mempunyai kawasan yang sangat luas serta dekorasi di setiap halaman memang mengagumkan. Buat pengetahuan anda, tempat ini adalah sebuah taman tema yang berkonsepkan agro dan kampung.

Jika anda sampai ke sini, pasti berasa tenang dengan pemandangan yang menarik. Persekitaran penuh dengan sawah padi terbentang dan pokok kelapa yang merimbun.

Tempat ini dibuka pada setiap hari termasuk cuti sekolah yang bermula dari 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Rugi jika anda ke Pulau Pinang tapi tidak singgah di sini kerana banyak tarikan dan aktiviti menarik untuk anda lakukan.

Jika anda dari Georgetown, hanya mengambil masa 50 minit untuk ke sini. Walaupun kedengaran seperti lama, namun memang berbaloi apabila menjejaki kampung cantik ini. Tidak hairanlah ramai pengunjung tempatan mahupun luar negara yang menjadikannya salah satu tempat wajib dikunjungi di Penang.

Nak rasai pengalaman menginap dengan suasana desa sebenar? Anda boleh menginap di sini kerana terdapat 4 homestay yang boleh memuatkan 3 hingga 4 orang. Nama homestay pun kesemuanya unik dan diberi nama burung seperti Terkukur, Merbok, Murai dan Tempua.

Kemudahan untuk setiap homestay juga lengkap. Setiap homestay menyediakan dapur mini, beranda, bilik, tandas dan halaman rumah persendirian. Ada juga disediakan seterika, pemanas air, peti sejuk, pendingin hawa dan banyak lagi.

Setiap pakej penginapan termasuk dengan sarapan, tiket masuk dan semua kemudahan. Anda memang dapat merasai suasana kampung lebih-lebih lagi menginap di rumah kayu.

Anda juga boleh berkhemah di sini. Bawa khemah dari rumah atau anda boleh menyewanya di sini dengan harga yang berpatutan. Antara kemudahan perkhemahan yang disediakan termasuklah  peralatan barbeku, air, elektrik, tandas dan bilik mandi. Semuanya lengkap untuk pengembara!

Jika tidak menginap, anda boleh meluangkan masa dengan berehat di pondok dan hammock. Ada pondok yang dikenakan sewaan tertentu untuk anda bersantai dan berkelah sambil menikmati persekitaran yang aman damai.

Bukan itu sahaja, rugi masuk ke Kg Agong jika tidak menyelusuri sekeliling kampung. Anda boleh berbasikal, menaiki kuda atau menaiki tram untuk pusing satu kawasan ini. Jika bernasib baik, anda dapat melihat proses menuai padi.

Imej via [ Kampung Agong ]

Sambil pusing kampung, anda juga boleh merasai aktiviti-aktiviti di desa khususnya melawat kebun dan tempat pertanian, mengutip buah kelapa dan sebagainya.

Jika anda bawa kanak-kanak ke sini, pasti mereka seronok kerana dapat bermain sepuasnya kerana tempatnya yang bersih, luas dan lapang. Aktiviti yang sesuai buat mereka sudah pasti bermain layang-layang, jongkang-jongkit, congkak dan banyak lagi! Nak beri ikan makan pun boleh!

Aktiviti utama yang wajib dilakukan jika berkunjung di sini sudah tentulah ootd. Tak lengkap kunjungan anda ke sini jika tidak bergambar kerana inilah tujuan utama ramai pelancong ke sini.

Antara sudut menarik yang sering menjadi tumpuan adalah buaian berlatarkan sawah padi menghijau atau kekuningan, piano, sarang burung gergasi, bingkai gambar gergasi dan lain-lain.

Nak feeling-feeling kampung apa kata anda menyewa pakaian tradisional dan bergambar bersama basikal zaman dahulu. Oh ya, jangan lupa kosongkan memori telefon anda agar anda dapat bergambar sepuasnya tanpa had!

Ramai juga yang datang ke sini dan jadikan Kg Agong sebagai lokasi untuk sesi fotografi bagi mempromosikan produk, konvokesyen, perkahwinan dan sebagainya. Pasti memberikan hasil yang gempak.

Sudah penat berjalan, bergambar dan lakukan pelbagai aktiviti, sudah pasti perut terasa ingin diisi. Jangan risau, di sini ada gerai yang menjual makanan dan minuman. Dapat minum air kelapa dan air lemon lebih-lebih lagi sewaktu matahari memancar, pasti segar!

Banyaknya aktiviti menarik yang ada di Kg Agong! Pasti tak membosankan dan memang berbaloi untuk dikunjungi bersama pasangan, keluarga dan rakan-rakan. Menginap sahaja di sini, jadi anda tak perlu tergesa-gesa untuk menikmati keindahan kampung ini.

Buat mereka yang mencari ketenangan setelah penat dengan kerja atau ingin lari dari kesibukan kota, tempat ini mungkin menepati citarasa anda.

Lokasi: 841, Kampung Bakar Kapor, 13100 Penaga, Pulau Pinang.

Waktu operasi: Setiap hari (9.00 pagi – 6.00 petang)

Website: https://kampungagong.com/

Media sosial: Facebook

No telefon: +60 12 481 7795

Harga tiket: Dewasa (RM 10) | Kanak-kanak 4- 11 tahun (RM  5) | Bayi – 3 tahun (Percuma)

Email: [email protected]  | [email protected]

Nak ke Penang? Ini tempat menarik yang anda boleh kunjungi ke negeri ini:

Similar Posts